Tuesday, May 27, 2008

Sekadar Renungan

Hilangnya Satu Mutiara Dalam Jiwa.

Ilmu hidup ini adalah hasil daripada perjalanan kehidupan manusia setiap hari. Itu kata seorang pujangga suatu ketika dahulu. Ilmu yang paling berharga datangnya dari kehidupan itu sendiri. Hanya dengan melihat kejadian Allah S.W.T setiap hari, kita pasti memperolehi ilmu.

Hari ini, saya ingin menasihatkan diri saya sendiri. Kehormatan diri manusia, rasa hormat sesama insan dan lain-lain sifat yang ada dalam hidup kita ini mampu ditarik nikmatnya oleh Allah S.W.T dalam sekelip mata. “Kun Faya Kun” maka jadilah ia. Saya ingin berkongsi kejadian yang saya lihat sendiri sepanjang minggu lalu bagaimana maruah seorang manusia dari dihormati terus hilang serinya dalam masyarakat.

Senario Satu – Bagaimana seorang yang dilihat dan diketahui memiliki ilmu agama yang tinggi tetapi sifatnya lansung tidak serupa dengan ilmunya.

Seharusnya, bagi mereka yang mempunyai ilmu terutama dalam Agama berkongsi ilmu tersebut dengan umat sekelilingnya. Keadaan demikian pernah di ceritakan dalam Riwayat hidup Imam Al Ghazali ketika beliau membahagikan kabilah yang tahu dan tidak mengetahui kepada dua bahagian. Kemudian beliau meminta agar kabilah yang tahu akan sesuatu perkara agar mengajarnya kepada kabilah yang satu lagi. Dengan demikian, dari satu kabilah yang mengetahui maka wujud dua dan seterusnya.

Tetapi tidak bagi seorang yang boleh digelar Imam ini. Beliau bukan sahaja tidak mahu berkongsi ilmu yang dimilikinya dengan orang lain, malah meminta upah yang tinggi untuk berkongsi ilmu itu. Sedangkan ilmu yang beliau miliki itu adalah ilmu Al-Qur’an. Hairan.

Bukan setakat itu sahaja, sifat imam ini juga agak berbeda dari kebiasaan Imam yang sepatutnya. Dilihat bahawa imam ini tidak menjaga salasilah beliau sendiri dan turut dahagakan duniawi. Nauzubillah. Walaupun sebagai peniaga, bagaimana mungkin apa yang perlu diutamakan hanya keuntugan semata-mata tanpa mengira Fardhu Kifayah yang lain? Mengapa beliau tidak meniru gaya sahabat Rasulullah S.A.W dalam perniagaan yang mana ianya amat sesuai dengan gelaran beliau?

Dalam pada masa yang sama, tutur bahasa beliau juga tidak sama sekali mencerminkan peribadi seorang muslim. Yang lebih menghairankan, secara terbuka beliau memaki hamun orang terutama mereka yang hampir kepadanya? Mengapa seorang yang mempunyai ilmu yang tinggi dalam agama ini dilihat tidak pernah berlembut dalam tutur katanya? Yang paling menarik apabila beliau juga turut mengatakan orang lain Kaki Perempuan sedangkan beliau sendiri mempunyai ramai teman Wanita? Hairan.

Senario Dua – Anak Derhaka.

Perkara ini berlaku setelah ianya diceritakan oleh seorang rakan. Menangis hati saya mendengar apa yang berlaku, namun saya hanya mampu mendengar dan sahabat saya itu hanya mampu melihat kerana yang berhak ke atas anak itu telah mengambil tindakan yang sewajarnya.

Kejadian berlaku apabila seorang ibu kepada seorang anak menegur beberapa orang rakan anaknya yang sering melepak sehingga larut malam. Dengan nada yang kuat, (seperti yang diceritakan) si Ibu menyuruh rakan-rakan anaknya agar pulang ke rumah masing-masing. Hening seketika, tiba-tiba bunyi kuat datang dari dalam rumah si Ibu tersebut. Apa yang rakan saya dapat lihat, si Anak tadi telah menumbuk ibunya kerana marah dengan teguran ibu tersebut. Mungkin si anak ini malu dengan tindakan ibunya. Nauzubillah.

Masakan ada anak yang sanggup tumbuk ibunya yang 9 bulan melahirkan beliau? Namun dalam pada masa yang sama, si Ayah kepada anak itu telah mengambil tindakan dengan membalas pukulan kepada anak derhaka itu tadi.

Demikian pengajaran yang saya perolehi sepanjang seminggu yang lalu. Terdetik dihati saya bahawa hari pengakhiran itu semakin hampir. Dengan adanya bukti dan kejadian seperti ini, ianya mengesahkan lagi firasat saya itu. Dengan imam yang gilakan dunia, sombong dan tidak menghormati orang lain. Dengan anak muda yang semakin hari semakin kurang pengajarannya.

Tidak hairn pula bagi saya apabila melihat generasi muda masa sekarang ini yang sudah hilang maruah diri. Dengan pakaian yang agak keterlaluan, menjolok mata dan sebagainnya, dengan secara terbuka bercumbuan, membuat maksiat dan berpelukan di tempat awam. Menjadi persoalan juga kepada diri saya, apa yang saya telah lakukan? Apa yang perlu saya lakukan untuk menghindari perkara-perkara seumpa ini dari terus berlarutan? Sedangkan musibahnya telah kita ketahui, apakah mereka ini tidak takut dengan hukum Allah S.W.T? Asta’rfirullah Halazim.

Renung-renungkan lah.

RE: Kisah ini saya tulis untuk dijadikan renungan diri saya sindiri dan kita bersama. Andai ianya ada kena mengena dengan kehidupan kita, sama-samalah kita menginsafi diri agar kita mendapat Keampunan Dari Allah S.W.T. Insya Allah.

No comments: