Tuesday, May 27, 2008

Kenaikan Harga Barang Katanya?

Kenaikan Harga Barang & Inflasi Kata Mereka?

Dalam seminggu hidup seharian seorang manusia, pasti ada sahaja pengajaran yang mengajar kita erti kehidupan. Betapa hidup ini hanya sementara dan sekadar pura-pura menjadi lumrah kehidupan tanpa kita sedari. Walau bagaimana sekalipun kita cuba untuk jujur dengan diri sendiri, hakikatnya sangat susah untuk kita terima.

Rakyat secara umum menyatakan rasa tidak puas hati mereka dengan kenaikan kadar harga barang dipasaran. Mereka juga amat bimbang dengan tindakan kerajaan dalam menangani isu inflasi yang semakin meruncing. Kata mereka, kerajaan tidak prihatin terhadap rakyat, mereka mahukan lebih banyak sumber dan kebajikan yang harus diberi keutamaan kepada rakyat. Kononnya hidup mereka terpinggir dan tersisih, ditindas dengan keputusan kerajaan menaikkan harga barang.

Rasionalnya, jika kita lihat dari zaman sebelum ini hingga sekarang, belum pernah lagi ada kerajaan dimana-mana negara yang menurunkan harga barang. Pernah kita dengar Amerika Syarikat yang sangat kaya-raya menurunkan harga barang? Pernah kita baca didada akhbar Eropah dan negara-negara bersekutunya menurunkan kadar inflasi negara mereka? Sedangkan pembangunan Singapura, negara kosmopolitan jiran yang paling hampir dengan negara kita turut mengalami kesan daripada inflasi ini. Jika tidak masakan lambakan pembeli Singapura membanjiri Johor Baharu hampir setiap minggu?

Hakikat yang saya nyatakan bahawa manusia itu tidak jujur terhadap diri mereka sendiri dapat kita lihat hampir setiap hujung minggu. Berikutan cuti hari Wesak minggu lalu, saya telah pergi ke Ibukota, hanya sekadar untuk melihat perkembangan penduduknya. Rasa ingin melihat perubahan yang hangat digembar-gemburkan oleh Pakatan Rakyat sebelum ini.

Namun apa yang saya lihat tidak serupa dengan apa yang diluahkan oleh rakyat. Hampa rasanya apabila melihat suasana inflasi dan kenaikan harga barang itu sedikit pun tidak memberi kesan kepada penduduk kota ini. Tidak serupa dengan warga luar bandar dan suburb, penduduk kota masih menjalani kehidupan mereka seperti biasa. Kaum wanita serta anak remaja masih mewah membeli barang-barang yang saya rasa bukan keperluan harian. Jika keluar mereka dari pusat membeli belah Chow Kit, Petaling Street boleh juga saya terima. Tetapi malangnya, Lot 10, Sungei Wang Plaza, KLCC dan sebagainya masih sarat dengan pembeli yang mebeli barangan berharga. Tak mungkin sebuah beg Gucci, Prada, Gorgio menjadi barang keperlan harian?

Bentak hati saya memikirkan apa yang sebenarnya menjadi keinginan penduduk kota ini? Mengapa apa yang dilaporkan, yang kononnya menjadi luahan hati sebelum PRU12 dahulu tidak seperti realitinya? Mengapa mereka, rakyat yang ditindas kerajaan masih mampu untuk membeli belah seperti tiada apa-apa yang berlaku? Dan lagi, mereka marah apabila kadar minyak bakal dinaikkan sedangkan mereka tidak pula mahu mengambil inisiatif sendiri dengan berkongsi kenderaan atau memaksimakan penggunaan pengangkutan awam?

Walau apa un, inilah hakikat yang harus kita terima sebagai manusia. Betapa sukarnya untuk kita insan kerdil ni mengekang kemahuan nafsu, biarpun telah direndam didalam neraka berpuluh-puluh kali. Susah untuk kita menahan keinginan yang hampir setiap hari mengugat kemahuan kita. Innalillah Wainnalillah Hiroji’un.

No comments: