Tuesday, March 10, 2009

Apa Yang Masih Boleh Di Selamatkan? Apa Yang Masih Relevan?

Apa Yang Masih Boleh Di Selamatkan? Apa Yang Masih Relevan?

Ini persoalan yang diajukan kepada rakan aku hujung minggu lalu. Soalan ini membuatkan aku tertanya, apa ye? Semalaman aku memikirkan perihal soalan ini dan aku dapat jawapannya. Cuma, perlu ke aku menerangkan kepada mereka sedangkan aku tahu apa saja jawapan yang aku perolehi akan di tolak mentah-mentah? Jadi biarlah aku simpan sendiri saja.

Apa yang masih boleh diselamatkan dalam UMNO ini? Jawapan aku, generasi muda. Generasi muda masih boleh diselamatkan melalui UMNO. Selama 29 tahun hidup, aku sudah bergaul dengan kedua-dua kelompok Parti politik iaitu PAS dan UMNO. Betul, PAS berjuang atas landasan ISLAM. Tetapi pendekatan mereka kepada generasi muda kurang mendapat sambutan. Kalau ada pun sikit bilangannya. Yang kita lihat sekarang, generasi muda hanya memihak kepada PKR, bukan PAS. Buktinya, cuba PAS buat ceramah Agama jemput budak-budak muda datang. Yang muncul pun tak lebih dari 10 orang. Jadi bagaimana PAS nak membendung gejala-gejala maksiat, kerosakan akhlak dan sebagainya? Bagaimana mereka hendak menerapkan nilai-nilai ISLAM dalam diri generasi muda ini?

Melalui UMNO, kita boleh mengadakan khemah kerja, program jati diri, forum dan sebagainya. Kenapa UMNO boleh buat? Sebab saluran masih terbuka buat UMNO sama ada di peringkat Kebangsaan, Negeri mahupun di peringkat Cawangan. Dengan mengadakan sesi seperti ini, ia dapat merapatkan hubungan diantara generasi muda ini dan kepimpinan dapat disalurkan kepada mereka. Pengisian dalam setiap program yang dijalankan dapat menerap nilai-nilai moral, sikap bertoleransi dan meningkatkan keimanan generasi tersebut dalam ISLAM. Program seperti ini juga dapat membentuk sahsiah diri generasi muda yang lebih baik dari sebelumnya. Kesedaran dapat di terangkan kepada mereka tentang persoalan pokok dalam masyarakat tempatan dan keadaan situasi semasa.

Bukan satu perkara mudah untuk kita buat benda baik dan program seumpama ini. Bukan hanya mahu membuktikan bahawa kita buat perkara-perkara baik. Hakikatnya, sebelum ini perkara ini tidak pernah berlaku. Ianya tidak pernah di aplikasikan dalam kehidupan generasi muda. Demikian yang aku maksudkan, 29 tahun aku hidup, tidak ada orang luar yang mengaku kononnya memperjuangkan ISLAM, memperjuangkan MELAYU yang datang kehadapan, membuka minda anak-anak muda kepada perkara-perkara baik dan yang tidak sepatutnya mereka lakukan. Sedangkan aku sendiri sedar, zaman muda dulu aku tidak mengambil tahu lansung mengenai perihal agama, apatah lagi nak mendalaminya? Bukankah kita sendiri mengaku zaman muda kita dahulu kita jahil bab-bab ini? Soalannya, ada siapa yang mahu mendekati kita pada ketika itu? Ada siapa yang mahu menghalang kita dari melakukan perkara buruk seperti itu? Tidak kira PAS mahupun UMNO yang hadir menerangkan kepada kita hakikat ini. Maka itu yang boleh diselamatkan.

Apakah masih relevan UMNO pada masa sekarang? Bagi aku soal kepimpinan, UMNO sudah jauh menyimpang. Pelaksanaan dalam perjuangan MELAYU sudah lesu sama sekali. Kita sendiri lihat PPSMI menjadi tajuk utama, pemimpin tempatan sendiri kita tidak mampu untuk pertahankan. Jadi apa lagi yang relevan tentang UMNO? Bumiputera.

Hanya perkataan bumiputera sahaja yang masih relevan dalam UMNO. Sebab dengan menggunakan perkataan bumiputera sahaja yang boleh jadi senjata MELAYU dalam ekonomi. Menuntut hak BUMIPUTERA adalah salah satu cara kita hendak melaksanakan DEB. Banyak dana dan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan tetapi tidak di ketahui oleh masyarakat umum. Kebanyakan bantuan ini disalurkan kepada BUMIPUTERA. Sebagai contoh, STEB yang memberi geran bantuan sebanyak RM3000.00 secara percuma kepada peniaga-peniaga belia. STEB juga memberi bantuan pinjaman tanpa penjamin dengan pulangan yang dikenakan sebanyak 4% sahaja. Berbanding dengan pinjaman bank dan institusi kewangan lain yang mengenakan cas yang lebih tinggi, bantuan seumpama ini dilihat mampu membantu peniaga muda terutamanya BUMIPUTERA memulakan perniagaan. Malangnya, peluang seumpama ini tidak diambil oleh BUMIPUTERA kita yang masih mempersoalkan apa yang kerajaan buat. Kerajaan itu, kerajaan ini.

BUMIPUTERA juga boleh dipertahankan dalam bidang kontraktor dengan adanya Pusat Khidmat Kontraktor yang memastikan bahawa BUMIPUTERA akan mendapat kerja. Persoalannya, apa jaminan yangd apat diberikan oleh Pakatan Rakyat dalam mempertahankan hak MELAYU? Apakah dalam dasar keterbukaan PR dalam masyarakat MELAYU masih di beri keutamaan? Sebagai contoh, hak milik tanah selama 990 tahun yang pernah diwar-warkan oleh kerajaan Negeri Perak. Adakah MELAYU mendapat hak yang sama?

Maka dengan itu, UMNO masih relevan kerana BUMIPUTERA masih dipertahankan.