Monday, May 5, 2008

Cebisan Dari Keadaan Politik Tempatan

Keputusan PRU ke 12 baru-baru ini memang satu keputusan yang memeranjatkan. Seperti kata orang, bagai gelombang tsunami yang melanda parti kerajaan yang di terajui oleh kepimpinan UMNO. Namun, bagi saya, keputusan tersebut memang dalam jangkaan. Ia mengingatkan satu perbahasan yang saya dengar dan lihat sewaktu saya berada di kolej 6 tahun yang lalu.

Sekitar tahun 2002, saya dan beberapa orang rakan pernah diajukan dengan soalan, “Kamu dah daftar jadi ahli UMNO?” oleh seorang ahli PEMUDA Kelana Jaya. Bermula dari persoalan itu, maka bermula satu perbahasan yang boleh di pandang logik akal. Sesungguhnya, golongan muda zaman ini lebih berpegang kepada logik akal sahaja tanpa mahu berpegang kepada pengisian yang lebih mendalam. Apa yang mereka mahu fahami adalah “Dasarnya harus sama dengan Dalamnya”.

Dalam perbahasan tersebut, rakan-rakan saya bertanya tentang faedah yang mereka dapat jika menjadi ahli UMNO. Maka PEMUDA tersebut mula menceritakan kisah silam dan mengaitkan dengan situasi kami yang dapat belajar di institute pengajian swasta seperti sekarang. Yang menjadi pucuk perbahasan tersebut ialah faedah yang mereka dapat sekarang, bukan yang berasal dari zaman dulu. Apa yang UMNO atau PEMUDA khususnya dapat tawarkan kepada mereka jika mereka menjadi ahli. Sedangkan sewaktu mereka sekolah, dapat keputusan cemerlang, tiada orang yang peduli kecuali keluarga. Mendapat tempat di IPTA/IPTS juga dari usaha keluarga. Persoalan kenapa PEMUDA tidak mengambil berat terhadap mereka sejak mereka sekolah lagi sedangkan mereka ini bakal pelapis dan pengubah masa depan Negara suatu hari nanti. Kemudian, di terima masuk belajar di IPTS dengan yuran yang tinggi, apa kerajaan buat? Terpaksa pula mereka mendapatkan bantuan PTPTN atau MARA bagi membiayai kos pengajian. Siapa yang bagi jalan jika tidak keluarga juga. Yang naik turun pejabat seperti orang minta sedekah keluarga juga. Ke mana PEMUDA pada ketika itu?

PEMUDA yang mengajukan soalan permulaan tadi terkedu seketika. Kemudian dia bertanya lagi, “Habis, apa yang kamu harapkan jika menjadi ahli?”

Untuk menarik minat golongan pelajar memang suatu perkara yang amat susah untuk dilakukan. Inikan pula pada zaman Internet seperti sekarang. Pada tahun 2002, kehangatan “REFORMASI” Datuk Seri Anwar Ibrahim masih terasa hingga kedalam bilik kelas. Sudah dengan pandangan tersendiri dari pelajar yang aktif dalam gerakan tersebut, di tambah pula pensyarah yang turut memulakan provokasi terhadap kerajaan. Perkara seumpama ini yang tertanam dan bermain di jiwa pelajar-pelajar. Nak pula dikalangan Pelajar IPTA/IPTS.

Apa yang mereka harapkan hanyalah bantuan. PEMUDA turun padang dan memainkan peranan mereka sebagai PEMIMPIN yang mampu membimbing mereka sejak dari sekolah. Keprihatinan PEMUDA dari umur belasan tahun amat di perlukan. Bantuan tidak perlu dari segi kewangan semata-mata. Cukup sekadar Recognition atau Penghargaan dari golongan pemimpin. Surat atau sijil yang menyatakan mereka ini pelajar cemerlang SPM/STPM sudah cukup buat mereka. Kalau bagi wang ringgit sekali pun apa yang mampu mereka beli sedangkan nafsu mereka pada umur seperti ini amat besar.

Tokoh kepimpinan PEMUDA juga akan makin menyerlah seandainya mereka dapat membantu golongan pelajar ini mendapatkan biasiswa dari institusi yang sewajarnya. Dapat surat sokongan dari Ketua Pemuda UMNO Bahagian pun jadi lah. Ini jangankan surat, Ketua Pemuda UMNO Bahagian pun mereka tak pernah nampak, macam mana?

Demikian persoalan pada tahun 2002. Pada Pilihanraya Ke 11, tahun 2004, kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi mendapat kemenangan besar. Ini disebabkan peralihan kuasa dan pucuk pimpinan pada ketika itu. Dari perbualan yang saya dengar di kalangan golongan remaja, mereka mahu melihat perubahan dalam tindakan kepimpinan tersebut. Mereka melihat satu cahaya baru dihujung jalan. Namun sayangnya, cahaya tersebut mula pudar dalam jangka masa 2 tahun kepimpinan Datuk Seri PM. Hanya semata-mata beberapa perkara yang dilakukan oleh Datuk Seri PM tidak logik dan tidak dapat diterima oleh golongan muda ini.

Sebagai contoh, peluang pekerjaan. Bagi golongan lepasan IPTA/IPTS yang tamat pengajian pada 2005, masih tidak mendapat sebarang kerja. Mahu tidak, mereka kerja sambilan untuk membayar semula pinjaman PTPTN/MARA yang dibuat sebelum ini. Belum mampu bertapak, kerajaan mula menaikkan tarif elektrik, bil air, tol, minyak dan sebagainya. Ini menjadikan graduan-graduan tersebut pening kepala memikirkan cara bagaimana mereka mampu untuk meneruskan survival dimasa akan datang. Sedikit demi sedikit timbul kebencian mereka kepada kerajaan akibat kepayahan hidup pada waktu itu.

Sudah dengan perihal kenaikan harga barang, timbul pula masalah kerja. Kebanyakan mereka masih tidak mendapat kerja yang sesuai dengan Diploma/Ijazah yang mereka perolehi. Itu satu masalah. Kerajaan pula mengesa mereka Bertani. Logiknya, bagaimana seorang yang belajar IT, Kejuruteraan Mekanikal/Bangunan, Lukisan, dan sebagainya mahu menjadi petani? Keadaan ini tidak sama sekali dapat diterima oleh golongan tersebut. Mereka sudah selesa belajar didalam keadaan yang dingin, mengharapkan kerja juga dalam keadaan sedemikian, bagaimana mungkin mereka mahu kerja di tengah-tengah sawah, kebun mahupun ladang? Apa guna mereka belajar selama 4 hingga 5 tahun sekadar untuk menjadi petani? Jika mereka ingin jadi petani, maka seharusnya mereka mula dari zaman sekolah. Dan zaman sekarang mereka sudah mampu bertapak dan diberi dorongan oleh kerajaan, perkara itu baru betul.

Akibat kesempitan dan kepayahan seperti ini, maka timbul pelbagai masalah semata-mata untuk mendapatkan keperluan kewangan dan perbelanjaan harian. Kejadian mencuri besi pengadang jalan, longkang dan sebagainya adalah diantara kesan sampingan terhadap masalah kesempitan ini.

Maka, pada pilihanraya kali ini, parti pembangkang menggunakan kesempatan tersebut untuk memancing pengundi muda dengan slogan, “NEGARA KEBAJIKAN”. Perkara ini yang terlepas pandang oleh kerajaan. Mereka tidak sedar akan kesusahan dan kepayahan hidup golongan graduan serta lepasan IPTA/IPTS ini tadi.

Apa yang saya dengar, kerajaan sepatutnya menyediakan satu Platform yang menjamin ekonomi golongan ini dahulu. Beri mereka kerja, biar mereka perolehi pendapatan mereka sendiri, baru naikkan harga barang. Ini harus dijadikan keutamaan bagi Pucuk Pimpinan untuk menarik perhatian golongan pemangkin masa depan tersebut.

Demikan beberapa perkara yang dapat saya simpulkan ekoran kemerosotan undi dalam Pilihanraya Ke 12 pada kali ini. Sesuai dengan slogan PEMUDA, menjadi Mata dan Telinga kerajaan maka saya rasa apa yang sampaikan ini mendapat perhatian Pucuk Pimpinan. Ini merupakan salah satu sebab mengapa saya menjadi ahli PEMUDA pada tahun 2007 yang lalu. Rungutan dan keluhan golongan muda sudah tidak mampu dibendung lagi. Namun mereka sekadar mampu meluahkannya di kedai kopi sahaja. Perhatian dan pertimbangan terhadap pandangan mereka ini tidak sama sekali di dengari oleh orang-orang yang sewajarnya. Terutama dari golongan pemimpin tempatan. Pa yang saya tulis ini merupakan sebahagian dari apa yang mereka rungutkan. Jika saya teruskan dengan catatan yang saya lakukan selama 6 tahun, rasanya terlalu panjang. Cukup setakat ini sahaja.

Saya berharap agar tulisan saya ini mendapat perhatian dan tindakan dapat diambil oleh pihak kerajaan bagi memastikan Ketuanan Melayu masih dapat diteruskan.

Sekian.

No comments: