Saturday, October 31, 2009

Dasar Politik UMNO

Kebelakangan ini, banyak e-mail yang diterima mempertikaikan dasar politik UMNO. Mereka mempersoalkan kedudukan Agama terutamanya dalam dasar politik tersebut. Katanya, UMNO tidak memperjuangkan Agama Islam sebagai tunjang dalam perlaksanaan dasarnya.

Sepertimana yang kita tahu, UMNO atau nama penuhnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (United Malay National Organisation) pada awalnya bertujuan untuk menyatukan orang-orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu bagi menentang Gagasan Malayan Union. Jelas sekali UMNO dengan nama penuhnya berhasrat mahu kesatuan Melayu ini Bersatu, Bersetia, Berkhidmat demi mencapai satu matlamat; Kemerdekaan.

Kesedaran bahwa Melayu di Semenanjung Tanah Melayu selama ini gagal menentang penjajahan British sebelum tertubuhnya UMNO adalah disebabkan perpecahan bangsa Melayu itu sendiri. Perpecahan yang berlaku dalam penentangan terhadap British sebelum itu lebih bersifat Kenegerian. Dengan kesedaran ini jugalah, maka Allahyarham Datuk Onn Jaafar telah mencadangkan penubuhan UMNO dan ianya disambut baik oleh seluruh penduduk Tanah Melayu yang berbangsa Melayu.

Oleh yang demikian, pada awalnya, dasar Politik UMNO adalah demi perjuangan bangsa, seperti mana yang diperkatakan oleh sesetengah pihak, terutama dari golongan pembangkang. Tetapi adakah mereka benar-benar faham definasi Melayu yang menjadi persetujuan dalam proses kemerdekaan dan yang termaktub dalam perlembagaan? Adakah mereka, yang pada kad Pengenalannya tertulis Bangsa: Melayu boleh menterjemahkan maksud Melayu itu kepada orang lain? Dan adakah benar dakwaan mereka ini bahawa UMNO secara dasarnya tidak memperjuangkan Islam?

Dalam Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui melalui Perjanjian Kemerdekaan, Melayu merupakan satu bangsa yang dominan di Tanah Melayu. Siapa yang boleh dikategorikan sebagai bangsa Melayu dihuraikan melalui 3 prinsip berikut:

Pertama - Penduduk Tanah Melayu yang beragama Islam dan didaftarkan Melayu sebelum 1951.

Kedua - Mengamalkan cara hidup, berpakaian, makan dan minum serta mengikut adat istiadat orang-orang Melayu sebelumnya.

Ketiga - Fasih bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa Melayu.

Maka adakah perjuangan UMNO membela nasib orang-orang Melayu tidak berdasarkan Agama Islam sedangkan prinsip pertama yang melayakkan seseorang itu digelar sebagai bangsa Melayu adalah Islam. Adakah UMNO hanya retorik apabila hanya menerima orang Melayu sahaja sebagai Ahlinya sedangkan didalam UMNO itu secara keseluruhannyaa ada bangsa-bangsa lain tetapi beragama Islam. Bukti ini jelas dengan adanya golongan India Muslim, Cina Mua'alaf, Kaum Bajau Laut yang juga turut menyertai UMNO. Bukan sahaja mereka, malah turut diikuti oleh anak-anak dan cucu-cucu mereka menyertai UMNO.

Perkara ini perlu diberi penjelasan agar masyarakat tidak terpesong dari maksud sebenar perjuangan UMNO. Perkara dasar ini perlu diterangkan di peringkat akar umbi terutama golongan-golongan baru agar mereka tidak mudah terpedaya dengan retorik pembangkang memecah belahkan orang-orang Melayu di dalam Tanah Air kita ini.

Renung-renungkanlah.

Catatan:
1. Definasi Melayu Dalam Perlembagaan di garap daripada sesi Perkhemahan Jatidiri Bangsa 2009. Ceramah disampaikan oleh Sdr. Mustafa Long.

2. Rujukan: Dewan Bahasa dan Pustaka, Arkib Negara dan Buku Perlembagaan Persekutuan

No comments: