Saturday, October 31, 2009

Konsep Politik Perhubungan.

Konsep Politik Perhubungan.

Bagi memahami satu perkara dalam hidup, seseorang manusia yang mempunyai akal yang cerdas pasti akan mencari erti sebenar perkara itu terlebih dahulu. Maka timbul persoalan yang biasanya ditanya kepada diri mereka sendiri. Mungkin soalan-soalan ini hanya untuk untuk kefahaman individu itu sendiri. Namun hakikatnya, secara lahiriah, apa yang difikirkannya pasti mahu disebarkan kepada masyarakat umum.

Teringat saya sewaktu saya berada di Kolej dahulu. Dalam Pengajian Am - Politik Dan Kenegaraan, pensyarah itu bertanya:

"Apa Definasi Politik, mengikut kefahaman sendiri."

(Rujuk Wikipidea & Kamus DBP).

Namun, bagi saya sendiri, secara subjektifnya, Politik itu merupakan satu Perhubungan antara manusia. Ia di aplikasikan bagi kita untuk mencapai tujuan tertentu demi kebaikan individu, keluarga dan juga masyarakat. Ia menjurus kepada soal keharmonian dan kesejahteraan hidup manusia serta persekitarannya. Ia sepatutnya tidak melibatkan soal agama secara terus tetapi secara dasarnya ia tetap ada kena mengena dengan agama.

Suatu ketika, sewaktu angkatan tentera Khalid Ibn Waleed mengepung tembok Baitulmaqdis, seorang Uskop atau Bishop tua dari suku Nasrani (Kristian) menghantar surat memohon untuk bertemu dengan khalifah sebelum sebarang pertempuran berlaku. Surat tersebut telah sampai kepada khalifah pada zaman itu, Umar Al - Khattab, di Madinah. Dengan memikirkan keselamatan umat Islam dan demi mengelakkan sebarang pertumpahan darah berlaku, Saidina Umar bersetuju untuk berjumpa dengan Uskop tua tersebut. Dalam pertemuan tersebut, Uskop itu bertanya Apakah yang sebenarnya hendak dilakukan oleh Tentera Islam di luar Kota Baitulmaqdis ini? Jawap Umar, membebaskan Kota Baitulmaqdis ini dari kekejaman Rom terhadap orang - orang bukan Kristian. Demi apa, tanya Uskop itu lagi. Demi Politik, kata Umar. Apakah politik yang dimaksudkan oleh Umar itu? Perhubungan yang baik sesama manusia dan kebebasan diantara mereka.

Jelas disini bahawa tujuan asal perjuangan Islam seawal perkembangannya adalah demi jalinan perhubungan sesama manusia seperti mana Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami mencipta kamu berbilang kaum agar kamu dapat kenal mengenali antara satu sama lain."

Bukan tujuan saya untuk menidakkan maksud yang tercatat dalam wikipidea ataupun kamus Dewan Bahasa itu. Tetapi secara logiknya, Politik itu lebih hampir kepada sifat-sifat menjalinkan Perhubungan yang baik sesama ahlinya.

Bayangkan kita ini satu kelompok keluarga yang tinggal jauh di kawasan pendalaman. Bagi keluarga tersebut berkembang dari segi zuriat, ekonomi mahupun sosialnya, maka mereka harus mempunyai hubungan dengan orang lain. Jika perkara ini tidak berlaku, maka hiduplah mereka (keluarga tersebut) seperti mana yang disebut dalam pepatah Melayu sebagai Kera Sumbang.

Politik, ekonomi dan juga sosial merupakan 3 aspek yang paling utama dalam kehidupan manusia. Maka jika kita lihat politik itu sebagai satu Perhubungan, maka lebih mudah untuk kita mencapai 2 perkara berikutnya iaitu Ekonomi dan Sosial. Ketiga-tiga perkara ini mempunyai hubungan yang sangat akrab diantara satu dengan yang lain. Tetapi tanpa Politik Perhubungan yang baik, maka adalah sukar untuk mencapai dua yang lainnya.

Ambil kira semula keluarga yang tinggal jauh dipendalaman tadi. Dengan adanya Politik Perhubungan yang baik, maka mereka dapat berjumpa dengan individu atau keluarga mahupun kelompok masyarakat lain selain keluarga mereka sendiri. Dari sini, jika mereka menanam padi, sebagai contoh, berjumpa dengan keluarga yang menternak ayam, keluarga awal tadi dapat makan ayam sebagai makanan mereka. Demikian juga sebaliknya.

Disinilah permulaan awal tamadun dunia dimana politik memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangannya. Dari perhubungan politik yang baik akan menjurus kepada sistem sosial yang baik. Lebih ramai orang yang mereka kenal, semakin besar jaringan perhubungan individu tersebut. Dengan kata lainnya, lebih besar mangkuk, lebih banyak isinya. Maka, tidak mustahil bagi individu tersebut untuk berkembang dalam sistem Ekonominya sendiri. Dari sini tamadun tersebut mula berkembang.

Islam juga turut berkembang dengan cara yang sama, melalui Perhubungan yang baik antara manusia. Malah dalam Rukun Islam juga, Perhubungan adalah perkara yang sangat-sangat diutamakan iaitu Solat 5 Waktu. Kesinambungan Solat ini akan saya terangkan dalam bab yang lain.

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir juga turut membincangkan perkara yang sama seawal penglibatannya dalam kancah politik nasional. Penyebaran konsep Politik Perhubungan yang baik ini telah di abdikan dalam buku beliau yang cukup berkontrovasi, Dilema Melayu. Beliau pada mulanya menerangkan sistem Penduduk di Malaysia sebelum dan selepas Merdeka. (Rujuk buku tersebut untuk kefahaman Lanjut).

Sayangnya, dewasa ini Konsep Politik yang diamalkan oleh Parti-Parti Politik lebih menjuruskan kepada Kepentingan Peribadi. Tidak kurang juga ada yang extrimis terhadap seseorang pemimpin sahaja. Yang lebih menyedihkan, Politik Persepsi atau Pandangan satu hala sahaja. Jelas konsep politik ini jauh menyimpang dari maksud asalnya yang telah diterangkan sejak awal tamadun manusia dahulu.

Tidak salah jika saya katakan, gagasan 1Malaysia, Rakyat di Dahulukan, Pencapaian di Utamakan oleh Presiden UMNO Malaysia membawa kita kembali kepada konsep Politik Perhubungan. Perhubungan antara Pemimpin atasan dengan Bahagian, Bahagian-Bahagian dengan Cawangan, seterusnya Pemimpin Cawangan dengan ahli-ahlinya. Demi menjaga ukhwah sesama ahli, kita turut digalakkan untuk berbuat amal dan berbaik sangka diantara manusia terutama kepada penduduk seluruh Malaysia khususnya tanpa mengira kaum dan pemikiran politiknya. Jika perkara ini dapat kita laksanakan dengan baik, maka keadaan dalam Negara, Masyarakat, Keluarga malah individu dapat diperbaiki serta ditingkatkan dengan lebih efisyen.

Dalam dunia serba moden dan canggih seperti sekarang ini, mencapai matlamat Konsep Politik Perhubungan yang baik bertambah mudah. Dengan adanya sistem telekomunikasi terkini, telefon bimbit sudah menjadi keperluan bagi setiap anggota masyarakat. Bukan sahaja golongan dewasa, malah anak-anak sekolah juga turut memiliki kemudahan ini. Hanya sebaris ayat dalam sistem pesanan ringkas (SMS) sudah cukup memadai bagi rakyat merasai diri mereka dihargai. Tidak perlu hari-hari pun tidak mengapa asalkan ingatan itu yang lebih penting. (Pepatah Inggeris Menyebut: The Thought that matter the most).

Selain sms, teknologi maklumat juga turut memainkan peranan yang penting dalam mencapai konsep Politik ini. Zaman sekarang, anak-anak muda cukup mudah terdedah kepada eMail, Facebook, Twitter dan sebagainya. Kaedah ini juga mampu menarik perhatian mereka dan mudah untuk mereka capai. Slogan 'Dunia Di Hujung Jari' sangat berkesan dalam penggunaan teknologi ini.

Sayangnya, Kepimpinan UMNO terlalu lambat mengambil pendekatan seumpama ini untuk digunakan demi kebaikan mereka. Mekanisme terbaru ini tidak disenaraikan sebagai senjata utama bagi mereka. Jelas disini bahawa kepimpinan sedia ada sama ada menolak atau tidak tahu lansung kegunaannya yang secara hakikatnya sangat-sangat memberi kesan kepada rakyat dan ahli UMNO. Boleh juga dikatakan bahwa ada segelintir pemimpin yang terang-terangan tidak menggunakan konsep Politik Perhubungan ini sebagai agenda utama mereka dalam lapangan politik tempatan. Oleh sebab itu kegunaan perkakas terbaru ini masih bersawang dan tidak diguna pakai secara efektif. Mungkin mereka rasa diri mereka akan jadi bodoh sebab tidak tahu guna atau mungkin juga ego dan keangkuhan mereka menghalang mereka untuk belajar. Tidakkah mereka sedar bahwa Rasulullah S.A.W pernah bersabda, yang bermaksud:

'Tuntutlah ilmu sehingga ke Liang Lahad.'

Apakah kita lupa akan perkara ini? Allah huakbar.

Renungkanlah, sesungguhnya mencapai matlamat konsep Politik Perhubungan ini lebih mudah jika kita sendiri mempermudahkannya. Dengan usaha kita mencapai kejayaan, dengan ketekunan, istiqomah dan kesabaran, Insya Allah, Allah pasti membalasnya dengan kemenangan.

No comments: