Saturday, October 31, 2009

Enlightenment Dalam Politik Semasa.

Enlightenment Dalam Politik Semasa.

Sejak PRU ke 12 yang lalu, banyak pendapat dari pakar sains politik negara mengatakan bahawa pengundi sekarang lebih peka terhadap persekitaran politik tempatan. Dengan wujudnya dunia tanpa sempadan, multimedia dan internet, pandangan mereka terhadap politik lebih meluas terutama dikawasan bandar.

Kewujudan media baru ini memudahkan mereka mencapai maklumat dari hujuung jari. Segala informasi terkini dapat diperolehi melalui sistem jaringan internet. Keadaan ini berlaku tanpa sebarang had dan pengawalan dari institusi tertentu. Maka dengan mudah penyebaran maklumat dapat dilakukan sama ada apa yang dibekalkan itu benar atau pun tidak.

Kesedaran saya terhadap tahap kematangan politik generasi muda yang melayari internet dan dunia mudah alih ini agak berbeza sedikit dari pandangan pakar. Bukan maksudnya saya lebih pakar dari mereka, tetapi tahap pemikiran saya berbeza dari mereka.

Dengan wujudnya dunia tanpa sempadan ini, generasi muda bukan sahaja mudah terdedah kepada dakyah pembangkang. Malahan bukan semua mereka yang terlibat secara lansung dalam pakatan tersebut, jauh sekali melibatkan diri dalam kancah politik tempatan. Ada juga diantara mereka yang terdedah kepada berberapa revolusi baru dalam sistem politik yang selama ini mendominasi negara.

Sebagai contoh, mereka mula mengkaji dengan lebih mendalam Dasar Ekonomi Baru dan signifikasinya terhadap masyarakat. Melalui kajian dan pembacaan mendalam mereka dalam sesuatu hal itulah yang menimbulkan provokasi terhadap pemikiran mereka. Pembangunan masyarakat luar bandar misalnya yang pada asalnya menjurus kepada peluang perniagaan dan bantuan-bantuan yang disediakan bagi membantu ke arah itu. Provokasi terhadap perkara itu ialah mengapa mereka tidak didedahkan lebih awal? Kemana saluran yang sepatutnya mereka perlu pergi bagi mendapatkan bantuan-bantuan tersebut? Mengapa hanya segelintir masyarakat Melayu terutamanya yang mendapat keuntungan dari bantuan-bantuan yang disediakan dan tidak kepada masyarakat massa?

Inilah permulaan persoalan yang bermain difikiran mereka. Lebih dalam mereka mengkaji perkara tersebut, lebih banyak yang mereka tahu. Tambah lagi dengan fakta-fakta kurang tepat yang turut dibekalkan oleh puak pembangkang akhirnya menjurus kepada satu pendekatan: Kerajaan Yang Bersalah.

Hakikatnya, jika kita lihat bahawa selama ini memang keadaan seumpama ini wujud. Bantuan-bantuan yang sepatutnya disalur kepada masyarakat umum tidak disampaikan atau tidak diwar-warkan kepada mereka. Atas dasar itulah, maka golongan generasi muda ini merasa diri mereka ditipu dan ditindas.

Perubahan dalam corak politik bagi mendekati golongan ini wajar diberi perhatian. Terutama dari segi menterjemahkan semula jenis-jenis bantuan yang dapat membantu mereka dimasa akan datang. Sumber informasi dan maklumat yang lebih efektif perlu diberi penekanan dan perhatian terhadap perkara-perkara ini. Langkah-langkah yang lebih efektif perlu dikaji agar penyelewengan tidak berlaku dan ianya perlu dimaklumkan kepada masyarakat umum.

No comments: